26 September 2009 - 7 Syawal 1430

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Monday, December 7, 2009

Kembara Ilmu - Bumi Allah ENGLAND..(Episod 1)


27 Mei 2009, Rabu, 8.30 pg

Kami berjalan menuju ke gergasi D72006 yang kami mimpi-mimpikan selama dua tahun. Belum lagi dikira dengan impian ke bumi England yang kami simpan angannya dari kecil lagi. Tiba jua masanya. Rasa tak percaya, takut, debar, gembira bercampur-baur. Kami ambil gambar sikit-sikit di luar flight untuk kenangan. Hafiz minta izin untuk jadi orang pertama yang nak melangkah ke dalam perut kapal terbang. Itulah Hafiz, ketua kami yang lembut, tetapi kuat semangat!



Bergambar kenangan sebelum berlepas ke England


Memohon perlindungan dari Allah

Saya hubungi keluarga untuk memaklumkan pelepasan kami. Pelbagai pesanan ayah tinggalkan, termasuklah ingatan tentang sarung tangan yang pernah disampaikan ketika mula membeli belah keperluan untuk dibawa ke UK. Bimbang katanya. Maklumlah, orang putih non-muslim di England bukannya tahu tentang haram menyentuh wanita bukan muhrim! Itulah ayah, yang sentiasa sedaya upaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai murabbi saya dan keluarga. Tak pernah jemu mentarbiyyah kami sejak kecil. Kata ibu, keperibadian ayah tetap sama, sejak dulu, sejak zaman bujangnya semasa di UTM dulu. Kesolehan ayah memang diakui oleh ibu dan teman-teman seuniversiti. Di rumah, ayah memang menjadi contoh tauladan kami. Selalu juga timbul membuak-buak rasa di hati, untuk menjadi seperti ayah, terutamanya dari sudut tegasnya dalam menjaga solat. Dari kecil sampai besar, kebiasaannya soalan pertama yang ayah lontarkan ialah samada kami telah tunaikan solat, dan ada kesannya kalau ketika itu kami belum lagi menunaikannya! Maafkan kami ayah atas segala salah silap kami. Betul kata Kumpulan Nasyid Raihan, iman itu tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Mewarisi nama muslim itu mungkin. Tapi apapun, tarbiyyah itu wajib berjalan. Selebihnya, Allah yang akan menentukan. Dan kriteria seperti ayah yang paling saya harapkan pada bakal zauj saya nanti. Proses tarbiyyah untuk anak-anak saya bermula daripada pemilihan bakal abi mereka lagi.

Selesai membaca doa perjalanan memohon perjalanan ini Allah lindungi dan berkati, kami pun melangkah masuk dan mengambil tempat masing-masing. Dan saya bersama ain lagi kali ini, gembira untuk duduk di sisi tingkap flight. Pemandangan luar dari tempat duduk kami jelas, memandangkan kami bukan berdekatan dengan sayap kapal terbang.

Our journey begins..

27 Mei 2009, Rabu, 10.05 pg.

D72006 dah mula memecut. Jauh juga ia mencari momentum. Allah.. berkati perjalanan kami..

27 Mei 2009, Rabu, 4.20 ptg (waktu Malaysia)

Dah nak masuk 7 jam perjalanan kami. Saya baru sahaja selesai solat jamak zohor dan asar. Rasanya untuk solat di atas flight tidaklah terlalu payah seperti yang dibayangkan. Kami boleh mengambil wudu’ seperti biasa, cuma kami perlu mengambil kira keselamatan dan keselesaan penumpang lain. Kami perlu berpada-pada dan bersederhana, jangan sampai kapal terbang itu kami banjirkan!

Kami melihat pemandangan ciptaan Allah di bawah sana..Subhanallah.. Sesuatu yang tak pernah saya lihat dengan mata dan akal sendiri selama ini. Ketika saya menulis bahagian ini, ada rasa terharu yang amat sangat, kuat dan mendalam, mengenangkan apa yang Allah sediakan untuk saya dan apa yang dah saya lakukan untuk Allah. Allah, ampunkan kelalaian hamba-Mu ini..

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Mu ya Allah, Sesungguhnya aku termasuk dikalangan orang yang zalim..”

Pemandangan yang saya sendiri kurang pasti di mana


Berfikir sampai terlena. Saya hanya tersedar daripada lena apabila ain dengan wajah penuh hairan bertanya, “kenapa kita nampak jelas pemandangan di bawah sana?, kenapa flight ni terbang rendah sangat?, tadi di Malaysia tak nampak langsung bawah..”

Saya menjenguk ke tingkap..Subhanallah. “Betul juga tu..”

Puas saya berfikir mencari suatu jawapan yang boleh diterima akal dan dianggap logik, akhirnya, saya dikurniakan idea yang belum pasti kesahihannya..tapi, bolehlah untuk meredakan pemikiran ain yang risau tu..hihi..

Ya, mungkin sebab suhu Malaysia lembap, kita ada banyak awan yang tebentuk. Sebab itu kita tak nampak bawah, dan kita rasa kita terbang sangat tinggi membelah langit.. Sedangkan, kita berada dalam ketinggian yang sama, 30 000 kaki dari paras laut..Emm..ketika ini, di bawah sana, suasana seolah-olah di padangpasir, kerana warna yang dominan adalah warna coklat tanah dan langsung tak kelihatan suasana dan warna pokok seperti di Malaysia.

Allah berfirman di dalam Surah Ali imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.””

Bercakap mengenai padang pasir, rindu saya menjengah pada satu-satunya adik lelaki saya yang akan pulang dari Bumi Kinanah Mesir pada bulan Julai nanti. Setahun saya rindukan wajahnya yang agak serabut..hihi..rindu bakal Dr. Ahmad Taufiq. Di atas ini juga saya mendoakan agar peluang saya dan Ahmad Taufiq terbang menerjah Barat dan Timur Tengah dapat dijadikan inspirasi kepada semua ahli keluarga saya untuk terus berjaya. Buat adik-adikku nurif dan dibah, usaha dan kerja keras kalian dalam menuntut ilmu tidak akan Allah siakan. Buat ayah, ibu dan abang, terima kasih atas doa dan galakan..

Di bawah sana, saya dapat melihat suasana dan iklim yang berlainan. Kalau di Malaysia, awan yang memutih tak memungkinkan saya untuk melihat segala pemandangan ini. Tapi setelah 6 – 7 jam perjalanan, dengan jelas saya mampu melihat gunung-gunung di bawah sana yang diliputi salji.Sesuatu yang tak mungkin dapat saya lihat sekiranya perjalanan kami ini tidak Allah izinkan. Segalanya menuntut keizinanNya..

Perjalanan kami berbaki 7 jam, insyaAllah..

27 Mei 2009, Rabu, 5:15 Waktu Malaysia.

Saya melihat gelagat sahabat-sahabat saya ketika ini..Mungkin setelah menyedari bahawa perjalanan ini memang panjang, ada yang dah mula tak senang duduk.
Aie dan Bob tiba-tiba ambil keputusan untuk saja-saja berdiri. Boring katanya..mungkin mereka ini tergolong dalam kinesthetic learner barangkali..
Nazrah sedaya upaya menghabiskan buku Aku Terima Nikahnya 2 karya Ust. Hasrizal Abd. Jamil. Nak catat rekod habiskan bacaan di dalam flight!
Ain khusyu’ dengan ‘3 HARI KEMUDIAN’..
Adli pun sedang membaca..tapi sambil-sambil itu nak menjengok juga apa yang ada di bawah sana melalui tingkap..
Fathi, Apis, Ina, Mal, Yani, Ani.. semuanya ‘dah sampai UK’ ataupun..’Masih di Malaysia..maaf, saya hanya bergurau, tapi ternyata mereka nyenyak sekali!
Athirah baca majalah..
Mdm. Ashikim dan Mdm. Mahany sedang baca al-ma’thurat. Mereka memang ibu trip yang baik dan solehah..
Dan saya..sibuk menulis, dan memerhati sahabat-sahabat saya yang saya sayang..sambil-sambil merenung ke bawah sana dengan pemandangan berbeza. Ada petak-petak tanah.. macam ladang, sangat luas..tak tau apa itu..Mmm..kenapa ye flight kita tak sediakan peta untuk tau kita sedang berada di atas negara apa..

27 Jun 2009, Rabu, 8.30 mlm Waktu Malaysia

Saya baru sahaja tersedar daripada tidur yang lena..Kalau diikutkan waktu di Malaysia, mungkin semua ahli keluarga saya sedang menonton Buletin Utama sambil menunggu kedatangan Isya’..Tapi apabila saya buka tingkap di sebelah ni..(bukan buka tingkap ye, tapi selak penghadang cahaya saja..) “Laaa..terang lagi?”.Saya cakap pada Aie dan Nazrah, “kadang-kadang kita tak rasa lama sebab dari tadi asyik siaang je..” Rasa macam baru tadi berlepas, walaupun hakikatnya semua dah kebosanan.. Tiba-tiba ketawa mereka membuatkan saya rasa lebih kelakar, walaupun saya bukan buat lawak pun..Sebenarnya kerana Aie mengakui dia turut terfikir benda yang sama, hari yang sentiasa siang membuatkan kami tak sedar 9 jam perjalanan memang panjang..

Saya takut-takut saja untuk buka penghadang cahaya di tingkap, sebab suasana dalam flight ini memang gelap dan suasana di luar sangat cerah dan cukup untuk menyilaukan para penumpang berhampiran. Tapi, oleh kerana saya nak tengok juga suasana luar, saya ambil buku untuk menghadang penumpang di belakang kami daripada rasa terganggu dan saiz bukaan tingkap juga saya pastikan sekadar cukup untuk dua biji mata saya melihat. Bukannya apa, sekadar common sense yang masih ada pada diri, hasil didikan ayah ibu dan guru. Sikap orang mukmin itu sentiasa mengambil berat dan mengasihi saudaranya yang lain. Sekiranya mereka bukan dari kalangan orang muslim, sikap mengambil berat kita penting supaya mereka mengakui keindahan didikan agama kita, dan supaya kita sendiri tidak membawa fitnah terhadap agama!

Di dalam flight ini, majoriti penumpang adalah dikalangan orang berkulit putih manakala yang coklat hanyalah kami dan bebrapa penumpang lain..

Em..ain dan athirah nak jalan-jalan pula dalam flight ni.. kan saya dah kata, ini mungkin pertambahan bilangan kinesthetic learner dan mereka memerlukan exploration dan hands on activities.. Saya tersenyum sendiri mengenangkan pelbagai ilmu pendidikan yang telah saya pelajari.

27 Mei 2009, Rabu, 8.40 mlm waktu Malaysia.

Saya kurang arif kami berada di atas negara apa, tetapi yang pasti lanskapnya cukup cantik dan tersusun.. Ada bulatan, kotak-kotak, dan macam-macam bentuk lagi.

Lanskap yang kemas pada pandangan mata saya. Subhanallah..

Dari atas ini nampak ada kelompok-kelompok awan..kalau kita berada di bawah, kehadiran awan Cuma membolehkan kita rasa redup, tapi kita tak kan nampak jelas bentuk bayang-bayang awan kerana ia terlalu besar. tetapi dari atas ini, kami boleh melihat dengan jelas bentuk awan itu sendiri di bawah kami, betul-betul sama macam bentuk bayang-bayang dia. Sangat jelas.

Hmm..saya terhidu bau makanan..sedapnya..memandangkan kami pun dah lapar..Upss, pramugara dan pramugari sudah sampai, dan saya tak lepaskan peluang untuk bertanya di atas negara apa kami terapung..

27 Jun 2009, Rabu, 9.20 mlm waktu Malaysia. (3.40 ptg waktu tempatan)

“We are coming to Poland.”

Itu kata steward yang datang kepada kami semula selepas bertanya kepada Kapten kapal, berhubung dengan soalan saya tadi. Walaupun dia tidak menjawab soalan saya sebenarnya tentang lanskap yang kami lihat tadi. Tetapi katanya yang pasti, pemandangan gunung-ganang yang dilitupi salji tadi adalah Afghanistan.. bumi tandus dimana berpuluh-puluh ribu saudara saya dibunuh dengan kejam oleh tentera kuffar.


Pemandangan gunung-ganang dilitupi salji di Afghanistan


Terima kasih Steward Hakim (bukan nama sebenar) atas informasi tadi..


27 Jun 2009, Rabu, 10 mlm waktu Malaysia.

“Astaghfirullahal’azim..” Sesuatu yang amat saya sedih dan kesalkan. Baru sebentar tadi saya sempat berbual pendek dengan Steward Hakim ketika dia manghantar makanan kami. Kali ini, dia berjalan lagi melepasi kami dan menjual makanan sampingan lain dan kami tidak tersalah tengok untuk mengatakan yang troli yang disorongnya adalah troli yang sarat berisi arak!

Semoga silapnya itu di atas kejahilannya dan Allah, pimpinlah sekelian umat Muhammad. Tidakkah dia tahu, Allah melaknat siapa sahaja muslim yang mempunyai kaitan dengan arak? Dan lebih menggusarkan, tidakkah dia tahu bahawa sekiranya Allah hendak mendatangkan bala kepada suatu kaum di sesebuah tempat, maka Allah akan binasakan semuanya tanpa pengecualian?

Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.” (Al-Anfal:25)

27 Mei 2009, Rabu 9.50 malam waktu Malaysia

Baru sebentar tadi pramugari mengumumkan bahawa kami akan mula mendarat. Ya Allah..besarnya nikmatMu buat kami untuk melalui semua ini..

Pemandangan London Stansted sebelum kami mendarat

Lapangan Terbang London Stansted


Insya Allah, bersambung..

Usrah Murabbi,

Teacher Azzati..

5 comments:

  1. terharu nadz bc coretan ni.teringat saat2 kita sama2 berusaha capai impian bersama. pengalmn berharga yg x dpt kt mana2.x sbr nk follow episod seterusnya...dr segi writing,i give u A1.hehe...

    ReplyDelete
  2. hihi trima kasih cikgu nadzrah.. em..betul..diary berharga kita..insyaAllah, stakat ni belum sempat tulis episod 2. rasanya episod dua lebih akademik, sbb, time jalan2 ke sekolah semua tu, xsempat tulis perasaan..(^_^)mgkin itu untuk kongsi ilmu kita dapat dari sana untuk sahabat lain kot..

    ReplyDelete
  3. Hebat sungguh coretan kak dayah. Bila sy baca ni rasa sekarang juga nk pergi ke sana. Nak merasai pengalaman di sana .Bak kata pepatah dulu-dulu "Jauh perjalanan , luas pengalaman" ..

    ReplyDelete
  4. insyaAllah, ada rezeki g la sana dik, sementara aiman masih ada!(^_^)mtk dia sponsor penginapan,dah jimat banyak tu..

    ReplyDelete
  5. insyaallah..klu aiman boleh sponser alhamdulillah..bkan sy je nk bwa sume skali ahli rm (^_^)..

    ReplyDelete