26 September 2009 - 7 Syawal 1430

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Tuesday, December 29, 2009

"Kita Perlu Mengubahnya.."

Saya belek-belek akhbar hari ini. Jelas sekali tertera berita kemalangan menyayat hati memenuhi ruang muka hadapan.

Akibat terlelap, 10 nyawa lenyap.

Rasanya tak perlu lagi saya ulas tentang kisahnya kerana saya kira semuanya sudah maklum dan kesedihan keluarga mangsa dikongsi bersama.

Hanya sekadar seorang pembaca, saya sudah dapat merasai kepedihannya, apatah lagi bagi mereka sendiri yang kehilangan ‘suara-suara’ yang selalu memeriahkan suasana. Berat mata kita memandang, berat lagi bahu yang memikul..

Sekadar berkongsi pengalaman, seperti penuntut-penuntut lain yang merantau untuk menuntut ilmu, seringkali berulang alik menaiki bas untuk suatu tempoh yang panjang sememangnya suatu pengalaman yang menggusarkan. Untuk pulang ke rumah saya di Batu Pahat, perjalanan saya dari Kota Bharu memakan masa hampir 13 jam! Selama lebih kurang 5 tahun setengah melalui perjalanan yang sama, pelbagai pengalaman menakutkan saya rasai dan kebanyakannya disebabkan cara pemanduan pemandu bas yang kurang berhemah dan merisaukan.

Saya sepenuhnya bersetuju dengan saranan seorang penulis artikel yang disampaikan melalui Buletin Utama kelmarin, dimana beliau yang telah ‘muak’ dengan segala macam cadangan untuk meningkatkan keselamatan penumpang perkhidmatan bas express akhirnya menyeru bahawa sudah tiba masanya untuk penumpang sendiri yang berani menegur pemandu jika merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan gaya pemanduan sedemikian.

Benar. Menegur pemandu dalam keadaan bas yang sunyi hening memang payah. Takut disergah. Saya sendiri pernah suatu ketika tak mampu terlelap apabila bas yang saya naiki terhuyung-hayang ke kanan ke kiri. Saya perhatikan permukaan jalan, ia dapat dilihat dengan jelas melalui garisan putus-putus yang ada di jalan. Sekejap ke tengah, sekejap ke tepi. Dan, ada ketikanya saya dapat merasa apabila stering di sentap oleh pemandu untuk mengembalikannya pada kedudukan yang asal. Ketika itu, memang wujud perasaan untuk memberanikan diri menjenguk pemandu dan menegur sekadar yang patut. Itu pun saya tak mampu.

Yang pasti, KITA PERLU MENGUBAHNYA..

Itu belum lagi disentuh mengenai pemandu yang tidak berhenti untuk memberi ruang waktu bersolat terutamanya apabila masuk waktu Subuh. Bukan kita tak tahu, kebanyakan pemandu bas berbangsa melayu, beragama ISLAM. Akibatnya, bagi penumpang yang tinggi kesedaran bahawa kita berTUHAN serta tidak tahu tempoh yang Allah beri untuk meneruskan hidup, solat di tempat duduk menjadi penyelesaian. Namun, tak kurang yang masih BERSAHAJA. Sedangkan kita sekalipun tidak dapat menjangka apa yang sedang menanti di hadapan…

TEGURLAH..
Kita perlu mengubahnya..


Usrah Murabbi,

Teacher Azzati.

Monday, December 7, 2009

Kembara Ilmu - Bumi Allah ENGLAND..(Episod 1)


27 Mei 2009, Rabu, 8.30 pg

Kami berjalan menuju ke gergasi D72006 yang kami mimpi-mimpikan selama dua tahun. Belum lagi dikira dengan impian ke bumi England yang kami simpan angannya dari kecil lagi. Tiba jua masanya. Rasa tak percaya, takut, debar, gembira bercampur-baur. Kami ambil gambar sikit-sikit di luar flight untuk kenangan. Hafiz minta izin untuk jadi orang pertama yang nak melangkah ke dalam perut kapal terbang. Itulah Hafiz, ketua kami yang lembut, tetapi kuat semangat!



Bergambar kenangan sebelum berlepas ke England


Memohon perlindungan dari Allah

Saya hubungi keluarga untuk memaklumkan pelepasan kami. Pelbagai pesanan ayah tinggalkan, termasuklah ingatan tentang sarung tangan yang pernah disampaikan ketika mula membeli belah keperluan untuk dibawa ke UK. Bimbang katanya. Maklumlah, orang putih non-muslim di England bukannya tahu tentang haram menyentuh wanita bukan muhrim! Itulah ayah, yang sentiasa sedaya upaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai murabbi saya dan keluarga. Tak pernah jemu mentarbiyyah kami sejak kecil. Kata ibu, keperibadian ayah tetap sama, sejak dulu, sejak zaman bujangnya semasa di UTM dulu. Kesolehan ayah memang diakui oleh ibu dan teman-teman seuniversiti. Di rumah, ayah memang menjadi contoh tauladan kami. Selalu juga timbul membuak-buak rasa di hati, untuk menjadi seperti ayah, terutamanya dari sudut tegasnya dalam menjaga solat. Dari kecil sampai besar, kebiasaannya soalan pertama yang ayah lontarkan ialah samada kami telah tunaikan solat, dan ada kesannya kalau ketika itu kami belum lagi menunaikannya! Maafkan kami ayah atas segala salah silap kami. Betul kata Kumpulan Nasyid Raihan, iman itu tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Mewarisi nama muslim itu mungkin. Tapi apapun, tarbiyyah itu wajib berjalan. Selebihnya, Allah yang akan menentukan. Dan kriteria seperti ayah yang paling saya harapkan pada bakal zauj saya nanti. Proses tarbiyyah untuk anak-anak saya bermula daripada pemilihan bakal abi mereka lagi.

Selesai membaca doa perjalanan memohon perjalanan ini Allah lindungi dan berkati, kami pun melangkah masuk dan mengambil tempat masing-masing. Dan saya bersama ain lagi kali ini, gembira untuk duduk di sisi tingkap flight. Pemandangan luar dari tempat duduk kami jelas, memandangkan kami bukan berdekatan dengan sayap kapal terbang.

Our journey begins..

27 Mei 2009, Rabu, 10.05 pg.

D72006 dah mula memecut. Jauh juga ia mencari momentum. Allah.. berkati perjalanan kami..

27 Mei 2009, Rabu, 4.20 ptg (waktu Malaysia)

Dah nak masuk 7 jam perjalanan kami. Saya baru sahaja selesai solat jamak zohor dan asar. Rasanya untuk solat di atas flight tidaklah terlalu payah seperti yang dibayangkan. Kami boleh mengambil wudu’ seperti biasa, cuma kami perlu mengambil kira keselamatan dan keselesaan penumpang lain. Kami perlu berpada-pada dan bersederhana, jangan sampai kapal terbang itu kami banjirkan!

Kami melihat pemandangan ciptaan Allah di bawah sana..Subhanallah.. Sesuatu yang tak pernah saya lihat dengan mata dan akal sendiri selama ini. Ketika saya menulis bahagian ini, ada rasa terharu yang amat sangat, kuat dan mendalam, mengenangkan apa yang Allah sediakan untuk saya dan apa yang dah saya lakukan untuk Allah. Allah, ampunkan kelalaian hamba-Mu ini..

“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Mu ya Allah, Sesungguhnya aku termasuk dikalangan orang yang zalim..”

Pemandangan yang saya sendiri kurang pasti di mana


Berfikir sampai terlena. Saya hanya tersedar daripada lena apabila ain dengan wajah penuh hairan bertanya, “kenapa kita nampak jelas pemandangan di bawah sana?, kenapa flight ni terbang rendah sangat?, tadi di Malaysia tak nampak langsung bawah..”

Saya menjenguk ke tingkap..Subhanallah. “Betul juga tu..”

Puas saya berfikir mencari suatu jawapan yang boleh diterima akal dan dianggap logik, akhirnya, saya dikurniakan idea yang belum pasti kesahihannya..tapi, bolehlah untuk meredakan pemikiran ain yang risau tu..hihi..

Ya, mungkin sebab suhu Malaysia lembap, kita ada banyak awan yang tebentuk. Sebab itu kita tak nampak bawah, dan kita rasa kita terbang sangat tinggi membelah langit.. Sedangkan, kita berada dalam ketinggian yang sama, 30 000 kaki dari paras laut..Emm..ketika ini, di bawah sana, suasana seolah-olah di padangpasir, kerana warna yang dominan adalah warna coklat tanah dan langsung tak kelihatan suasana dan warna pokok seperti di Malaysia.

Allah berfirman di dalam Surah Ali imran ayat 190 dan 191 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.””

Bercakap mengenai padang pasir, rindu saya menjengah pada satu-satunya adik lelaki saya yang akan pulang dari Bumi Kinanah Mesir pada bulan Julai nanti. Setahun saya rindukan wajahnya yang agak serabut..hihi..rindu bakal Dr. Ahmad Taufiq. Di atas ini juga saya mendoakan agar peluang saya dan Ahmad Taufiq terbang menerjah Barat dan Timur Tengah dapat dijadikan inspirasi kepada semua ahli keluarga saya untuk terus berjaya. Buat adik-adikku nurif dan dibah, usaha dan kerja keras kalian dalam menuntut ilmu tidak akan Allah siakan. Buat ayah, ibu dan abang, terima kasih atas doa dan galakan..

Di bawah sana, saya dapat melihat suasana dan iklim yang berlainan. Kalau di Malaysia, awan yang memutih tak memungkinkan saya untuk melihat segala pemandangan ini. Tapi setelah 6 – 7 jam perjalanan, dengan jelas saya mampu melihat gunung-gunung di bawah sana yang diliputi salji.Sesuatu yang tak mungkin dapat saya lihat sekiranya perjalanan kami ini tidak Allah izinkan. Segalanya menuntut keizinanNya..

Perjalanan kami berbaki 7 jam, insyaAllah..

27 Mei 2009, Rabu, 5:15 Waktu Malaysia.

Saya melihat gelagat sahabat-sahabat saya ketika ini..Mungkin setelah menyedari bahawa perjalanan ini memang panjang, ada yang dah mula tak senang duduk.
Aie dan Bob tiba-tiba ambil keputusan untuk saja-saja berdiri. Boring katanya..mungkin mereka ini tergolong dalam kinesthetic learner barangkali..
Nazrah sedaya upaya menghabiskan buku Aku Terima Nikahnya 2 karya Ust. Hasrizal Abd. Jamil. Nak catat rekod habiskan bacaan di dalam flight!
Ain khusyu’ dengan ‘3 HARI KEMUDIAN’..
Adli pun sedang membaca..tapi sambil-sambil itu nak menjengok juga apa yang ada di bawah sana melalui tingkap..
Fathi, Apis, Ina, Mal, Yani, Ani.. semuanya ‘dah sampai UK’ ataupun..’Masih di Malaysia..maaf, saya hanya bergurau, tapi ternyata mereka nyenyak sekali!
Athirah baca majalah..
Mdm. Ashikim dan Mdm. Mahany sedang baca al-ma’thurat. Mereka memang ibu trip yang baik dan solehah..
Dan saya..sibuk menulis, dan memerhati sahabat-sahabat saya yang saya sayang..sambil-sambil merenung ke bawah sana dengan pemandangan berbeza. Ada petak-petak tanah.. macam ladang, sangat luas..tak tau apa itu..Mmm..kenapa ye flight kita tak sediakan peta untuk tau kita sedang berada di atas negara apa..

27 Jun 2009, Rabu, 8.30 mlm Waktu Malaysia

Saya baru sahaja tersedar daripada tidur yang lena..Kalau diikutkan waktu di Malaysia, mungkin semua ahli keluarga saya sedang menonton Buletin Utama sambil menunggu kedatangan Isya’..Tapi apabila saya buka tingkap di sebelah ni..(bukan buka tingkap ye, tapi selak penghadang cahaya saja..) “Laaa..terang lagi?”.Saya cakap pada Aie dan Nazrah, “kadang-kadang kita tak rasa lama sebab dari tadi asyik siaang je..” Rasa macam baru tadi berlepas, walaupun hakikatnya semua dah kebosanan.. Tiba-tiba ketawa mereka membuatkan saya rasa lebih kelakar, walaupun saya bukan buat lawak pun..Sebenarnya kerana Aie mengakui dia turut terfikir benda yang sama, hari yang sentiasa siang membuatkan kami tak sedar 9 jam perjalanan memang panjang..

Saya takut-takut saja untuk buka penghadang cahaya di tingkap, sebab suasana dalam flight ini memang gelap dan suasana di luar sangat cerah dan cukup untuk menyilaukan para penumpang berhampiran. Tapi, oleh kerana saya nak tengok juga suasana luar, saya ambil buku untuk menghadang penumpang di belakang kami daripada rasa terganggu dan saiz bukaan tingkap juga saya pastikan sekadar cukup untuk dua biji mata saya melihat. Bukannya apa, sekadar common sense yang masih ada pada diri, hasil didikan ayah ibu dan guru. Sikap orang mukmin itu sentiasa mengambil berat dan mengasihi saudaranya yang lain. Sekiranya mereka bukan dari kalangan orang muslim, sikap mengambil berat kita penting supaya mereka mengakui keindahan didikan agama kita, dan supaya kita sendiri tidak membawa fitnah terhadap agama!

Di dalam flight ini, majoriti penumpang adalah dikalangan orang berkulit putih manakala yang coklat hanyalah kami dan bebrapa penumpang lain..

Em..ain dan athirah nak jalan-jalan pula dalam flight ni.. kan saya dah kata, ini mungkin pertambahan bilangan kinesthetic learner dan mereka memerlukan exploration dan hands on activities.. Saya tersenyum sendiri mengenangkan pelbagai ilmu pendidikan yang telah saya pelajari.

27 Mei 2009, Rabu, 8.40 mlm waktu Malaysia.

Saya kurang arif kami berada di atas negara apa, tetapi yang pasti lanskapnya cukup cantik dan tersusun.. Ada bulatan, kotak-kotak, dan macam-macam bentuk lagi.

Lanskap yang kemas pada pandangan mata saya. Subhanallah..

Dari atas ini nampak ada kelompok-kelompok awan..kalau kita berada di bawah, kehadiran awan Cuma membolehkan kita rasa redup, tapi kita tak kan nampak jelas bentuk bayang-bayang awan kerana ia terlalu besar. tetapi dari atas ini, kami boleh melihat dengan jelas bentuk awan itu sendiri di bawah kami, betul-betul sama macam bentuk bayang-bayang dia. Sangat jelas.

Hmm..saya terhidu bau makanan..sedapnya..memandangkan kami pun dah lapar..Upss, pramugara dan pramugari sudah sampai, dan saya tak lepaskan peluang untuk bertanya di atas negara apa kami terapung..

27 Jun 2009, Rabu, 9.20 mlm waktu Malaysia. (3.40 ptg waktu tempatan)

“We are coming to Poland.”

Itu kata steward yang datang kepada kami semula selepas bertanya kepada Kapten kapal, berhubung dengan soalan saya tadi. Walaupun dia tidak menjawab soalan saya sebenarnya tentang lanskap yang kami lihat tadi. Tetapi katanya yang pasti, pemandangan gunung-ganang yang dilitupi salji tadi adalah Afghanistan.. bumi tandus dimana berpuluh-puluh ribu saudara saya dibunuh dengan kejam oleh tentera kuffar.


Pemandangan gunung-ganang dilitupi salji di Afghanistan


Terima kasih Steward Hakim (bukan nama sebenar) atas informasi tadi..


27 Jun 2009, Rabu, 10 mlm waktu Malaysia.

“Astaghfirullahal’azim..” Sesuatu yang amat saya sedih dan kesalkan. Baru sebentar tadi saya sempat berbual pendek dengan Steward Hakim ketika dia manghantar makanan kami. Kali ini, dia berjalan lagi melepasi kami dan menjual makanan sampingan lain dan kami tidak tersalah tengok untuk mengatakan yang troli yang disorongnya adalah troli yang sarat berisi arak!

Semoga silapnya itu di atas kejahilannya dan Allah, pimpinlah sekelian umat Muhammad. Tidakkah dia tahu, Allah melaknat siapa sahaja muslim yang mempunyai kaitan dengan arak? Dan lebih menggusarkan, tidakkah dia tahu bahawa sekiranya Allah hendak mendatangkan bala kepada suatu kaum di sesebuah tempat, maka Allah akan binasakan semuanya tanpa pengecualian?

Firman Allah yang bermaksud: “Dan peliharalah dirimu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.” (Al-Anfal:25)

27 Mei 2009, Rabu 9.50 malam waktu Malaysia

Baru sebentar tadi pramugari mengumumkan bahawa kami akan mula mendarat. Ya Allah..besarnya nikmatMu buat kami untuk melalui semua ini..

Pemandangan London Stansted sebelum kami mendarat

Lapangan Terbang London Stansted


Insya Allah, bersambung..

Usrah Murabbi,

Teacher Azzati..

Saturday, December 5, 2009

Kalam Aluan Murabbi..Janji kita dulu..

Assalamualaikum wbt..

Alhamdulillah, segala pujian dan kemuliaan kami rafakkan kepada Allah swt, atas limpah izin serta redhaNYA dapat kami bangunkan blog ini, dengan harapan ia mampu menjadi wasilah perkongsian ilmu dan pengalaman kita semua terutamanya dalam bidang pendidikan dan tarbiyyah, serta menjadi pemudahcara tautan hati antara kita mengenai pelbagai lagi cerita dan kisah menarik yang akan kita kongsikan.

Sebagai insan yang baru sahaja ingin menjengah dunia pendidikan, pastinya kita mengharapkan agar dapat menyumbangkan setitis dua keringat untuk membentuk dan mentarbiyyah ummah, seperti usaha burung-burung pipit memuntahkan air liur mereka ketika cuba memadamkan api besar yang membakar Nabi Allah Ibrahim Alaihissalam.

Sekadar untuk berkongsi, akhi Ashrof, suami saya baru saja diposting ke Kuching, Sarawak, salah satu negeri yang kebiasaannya menjadi gurauan untuk menakut-nakutkan para bakal guru semenanjung yang sedang berdebar-debar menunggu keputusan penempatan sekolah. Bukannya apa, dek kerana kedudukannya yang dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan semenanjung, serta kebarangkalian yang besar untuk ditempatkan di kawasan-kawasan pedalaman. Namun begitu, itulah realiti yang harus diterima dengan rasa syukur dan redha oleh siapa sahaja insan yang berani mencuba menjengah bidang ini. Maklumlah, itu juga yang kami janjikan sewaktu ditemuduga ketika memohon untuk mengikuti kursus ini.

"Kami sanggup untuk dipostingkan ke kawasan pedalaman demi mendidik anak bangsa kami..".

Agak stereotype bunyinya. Hakikatnya ketika itu, ungkapan itu cuma untuk melepaskan diri, dengan harapan yang menggunung tinggi agar kami diterima untuk mengikuti kursus ijazah perguruan yang menjadi antara bidang rebutan lebih-lebih lagi daripada kalangan hawa.

Namun, sedikit demi sedikit kami di'sogokkan' dengan ingatan tentang 'role and responsibility', 'educating nation', 'children's opportunity to learn' dan sebagainya. Dan, diakhirnya setelah tamat belajar, saat inilah kami perlu menguatkan mental dan emosi mengingatkan diri bahawa janji itu perlu ditebus, dan mula mempersiap diri untuk berkhidmat mendidik serta mentarbiyyah.

Buat semua sahabat saya yang masih lagi sama-sama gelisah menunggu keputusan penempatan, semoga lebih sabar menunggu. Saya lucu teringatkan pesan pensyarah sebelum kami tamat belajar baru-baru ini.

"Jangan risau, anda mesti diposting di tempat yang wujud manusia.."

Sudah tentu. Saya kira itu satu frasa memujuk yang bijak. Apapun, di mana bumi dipijak, di situ Allah kita junjung. Mudah-mudah disediakan segala yang terbaik untuk kita terus mengabdi diri padaNya..InsyaAllah, bersangka baiklah denganNya. Tidak akan dipayahkan kita dengan ujian yang tidak mampu kita pikul.

Akhir kata, salam perkenalan buat semua..segala yang baik itu datangnya dari Allah, salah serta silap itu adalah kelemahan dari diri kami sendiri.

Usrah Murabbi,

Ustaz Ashrof_Teacher Azzati